maradona-mokhtar-dahari-lagenda-bolasepak-malaysia-dunia-piala-world-cup

Facebook Comments

Argentina adalah negara kelahiran bintang bolasepak dunia yang telah pergi meninggalkan dunia untuk selama- lamanya pada tanggal 26 November 2020. Namun begitu, kelibat beliau yang pernah bermain di Stadium Merdeka pada 14 Januari 1982 menjadi kenangan manis dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Pada ketika itu, beliau belum lagi dikenali seperti hari dan hanya selepas empat tahun kemudian, nama beliau menjadi sangat popular setelah menyaksi prestasi cemerlang di arena antarabangsa apabila berjaya merangkul Piala Dunia untuk negara di laman perlawanan yang berlangsung di Mexico pada tahun 1986.

Maradona beraksi di Kuala Lumpur mewakili kelabnya pada ketika itu Boca Jurniors. Kehebatan perlawanan yang berlangsung di antara pilihan Selangor dan Boca Juniors diserikan lagi dengan kehadiran Allahyarham Mokhtar Dahari yang menjadi ikon Bolasepak Malaysia sehigga hari ini. Walaupun kini, kedua- dua mereka sudah pun meninggal dunia, yang pasti perlawanan tersebut akan dikenang sebagai satu titik kegemilangan Bolasepak Malaysia.

marodona-lagenda-bolasepak-stadium-merdeka-malaysia-mokhtar-dahari-1982

Maradona menjadi lambang kegemilangan dan kecemerlangan Bolasepak dunia dengan kemahirannya yang tinggi, kerajinan di atas padang yang ternyata tidak berbelah bagi, semangat untuk menang yang berkobar- kobar dan beliau mampu melakukan kejutan dengan magisnya. Jelas sekali, Maradona adalah satu ikon bolasepak dunia walaupun kita terpaksa meminggirkan penglibatan beliau dengan penyalahgunaan dadah. Kelibat Maradona akan jelas terpahat di dalam hati setiap rakyat Malaysia.


Santokh terkenang aksi menentang Maradona

KUALA LUMPUR: “Jurulatih suruh saya jaga dia rapat-rapat, saya jagalah dia rapat rapat!”

Itu antara perkara yang diingati legenda bola sepak Selangor, Datuk Santokh Singh selepas dia antara pemain yang ‘bertuah’ dapat menguji bintang terbaik dunia, Diego Maradona dalam satu aksi persahabatan menentang Boca Juniors yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 1982.

Ditugaskan menentang Maradona yang ketika itu sedang meningkat, Santokh mengakui pemain itu sememangnya memiliki segala kualiti yang diperlukan untuk menjadi antara pemain terbaik dalam sejarah seperti yang dapat disaksikan arena bola sepak sebelum ini.

“Ketika itu, Maradona beraksi bersama Boca Juniors di awal permulaan kariernya dan belum lagi menjadi pemain bintang. Tetapi selepas beraksi menentangnya, saya tahu dia sememangnya boleh menjadi seperti apa yang sudah disaksikan oleh dunia,” katanya.

Terdahulu, legenda bola sepak Argentina yang juga antara pemain terhebat sepanjang zaman, Maradona meninggal dunia di Buenos Aires selepas diserang sakit jantung.

Ucapan takziah dikirimkan daripada seluruh dunia yang menyaksikan bintang bola sepak berkongsi kesedihan atas pemergian bintang itu.

Malah, Selangor FC turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa takziah dan juga penghargaan selepas Maradona turut menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak mereka.

Menerusi satu hantaran di facebook Selangor FC, mereka berkongsi beberapa gambar Maradona bersama bintang Selangor selepas The Red Giants mengadakan persahabatan menentang Boca Juniors.

“Tanggal 14 Januari 1982, Selangor yang diketuai oleh Allahyarham Mokhtar Dahari beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Boca Juniors FC yang dibintangi oleh Diego Armando Maradona di Stadium Merdeka.

“Selain daripada pembabitan Supermokh, pasukan Selangor juga turut diwakili oleh legenda seperti Fandi Ahmad, Reduan Abdullah dan Santokh Singh.

“Terima kasih Maradona kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak kami,” kata persatuan itu.

Sumber : Berita Harian


Maradona buat Chin Aun tertanya-tanya

Kuala Lumpur: Sampai sekarang tidak mengetahui perkara yang diperkatakan legenda bola sepak dunia Diego Maradona selepas tamat perlawanan antara pilihan Selangor XI menentang Boca Juniors.

Situasi terbabit dikongsi legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun yang sempat berbual sebentar bersama Maradona sebaik tamat perlawanan berkenaan yang berkesudahan pilihan Selangor XI tewas 1-2 kepada Boca Juniors.

Mengimbau kembali detik berkenaan, Chin Aun berkata, beliau bersama barisan pertahanan lain iaitu Datuk Santokh Singh nekad mahu memberikan satu igauan kepada Maradona supaya mengingati mereka sebagai antara pertahanan kukuh ketika itu.

“Teruk juga kami ketika itu kerana Maradona begitu pandai mencari ruang untuk bolos daripada kekangan pertahanan seterusnya berjaya menghasilkan gol.

“Pada ketika itu, kami juga tidak memberikan mereka peluang dan setiap pergerakannya dikawal ketat sekali gus perlawanan berkesudahan hanya tewas tipis.

“Selepas perlawanan, kami berbual dan mendiang ada mengatakan sesuatu kepada kami namun disebabkan beliau bercakap menggunakan Bahasa Sepanyol, saya hanya mengangguk tanda faham dan mengiyakan saja.

“Pada waktu itu agak melucukan kerana masing-masing buat-buat faham apa yang dikatakan dan sampai sekaranglah saya sebenarnya tidak tahu apa yang Maradona katakan kepada kami,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Maradona yang terkenal dengan jaringan ‘Hand of God’ ketika menjaringkan gol menggunakan tangannya untuk menewaskan England 2-1 di Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu meninggal pada usia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sumber: Harian Metro


Maradona ingat saya – Joseph

Kuala Lumpur: Jika individu lain pernah berjumpa dengan legenda bola sepak dunia Diego Maradona hanya sekali seumur hidup mereka namun ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) Datuk George Joseph pernah melihat bintang Argentina itu secara bertentang mata dua kali iaitu pada 1979 dan 1982.

Pada perlawanan pertama, Joseph ditugaskan mengadili perlawanan Piala Dunia bawah 20 tahun pada 1979 di Tokyo, Jepun antara Argentina menentang Algeria sebelum diberikan tanggungjawab sama ketika pilihan Selangor XI menerima kunjungan Boca Juniors tiga tahun kemudian.

Lebih meninggalkan memori, pada pertemuan kali kedua menyaksikan Maradona masih lagi mengingati Joseph sekali gus pengalaman terbabit masih terpahat di ingatan walaupun sudah lebih empat dekad berlalu.

Pengalaman terbabit terus tersemat dalam memori Joseph berikutan individu yang menegurnya itu antara bintang bola sepak yang cukup terkenal dan digeruni dalam arena bola sepak beberapa tahun kemudian.

“Pada perlawanan kedua ketika Boca Juniors menentang pilihan Selangor XI, saya ada bersalaman dengannya dan mendiang menegur bahawa pernah melihat saya sebelum ini di Jepun.

“Kami berjabat tangan dan beliau gembira dapat berjumpa saya sekali lagi dan berpuas hati perlawanan berkenaan diadili oleh saya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Joseph yang kini berusia 83 tahun berkata, Maradona seorang pemain yang lincah malah pada perlawanan menentang pilihan Selangor menyaksikan pemain tempatan cukup sukar untuk mengekang asakannya.

“Walaupun mendiang ketika itu tidaklah terkenal seperti sekarang namun kita boleh melihat keupayaannya yang lincah dan hebat terutama merobek benteng lawan.

“Saya ketika itu ditugaskan sebagai pembantu pengadil pun penat untuk mengikut gerakannya, apa lagi pemain pertahanan yang perlu menjaganya,” katanya, yang bersara sebagai pengadil 31 tahun lalu.

Maradona yang terkenal dengan jaringan ‘Hand of God’ ketika menjaringkan gol menggunakan tangannya untuk menewaskan England 2-1 di Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu meninggal pada usia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau juga baharu sahaja menjalani pembedahan otak awal bulan ini.

Sumber : Harian Metro

Similar Posts